
Moscow: Seorang wanita seberat 102 kilogram ‘menghukum’ suaminya dengan cara menghempap lelaki itu selagi pasangannya itu tidak memohon maaf.
Portal The Sun melaporkan sebelum kejadian, pasangan yang menetap di Novokuznetsk itu minum minuman keras dan bertengkar sebelum wanita itu berang dan beraksi menghempap suaminya.
Dia menghempap suaminya dengan cara duduk di leher sambil memegang kepala lelaki itu dalam keadaan terbaring di atas katil.
Anak mereka melihat muka bapanya tersembam di katil sebelum berlari mendapatkan pertolongan jiran sebelah.
Seorang jiran wanita datang namun meninggalkan pasangan itu selepas mendapati ia cuma masalah rumah tangga.
Tertuduh, Tatyana O, 45, memberitahu jirannya itu dia cuma mahu menenangkan suaminya, Aidar, selepas mereka terlebih minum arak.
Namun, tidak lama selepas itu, jiran itu kembali selepas mendengar jeritan Tatyana dan melihat Aidar sudah tidak sedarkan diri sebelum memanggil ambulans.
Laporan pemeriksaan perubatan mengesahkan, lelaki itu maut akibat asfiksia, kesan daripada sistem pernafasannya yang tersekat.
Ia dipercayai selepas isterinya itu duduk di atas lehernya serta menggunakan kakinya supaya suaminya tidak bergerak.
Susulan itu, Tatyana berdepan tuduhan membunuh suaminya yang disahkan maut serta-merta di tempat kejadian.
Pada perbicaraan pertama, Tatyana disabitkan cuai hingga menyebabkan kematian serta tidak berniat membunuh suaminya.
Dia dijatuhi hukuman khidmat masyarakat selama 18 bulan dan membayar 2,000 Pound Sterling (kira-kira RM11,693).
Sumber Harian metro
Leave a Reply